Setiap bakal pengantin pasti prihatin dengan kebersihan diri. Baik dari segi kesihatan luaran dan juga kesihatan dalaman. Sebelum berkahwin, bakal pengantin sebaiknya menjalankan rawatan kecantikan untuk kelihatan cantik dan bermaya ketika bersanding. Antara rawatan yang sering dijalani oleh bakal pengantin adalah seperti mandi lulur, mandi susu, mandi bunga, bertangas, rawatan rambut, rawatan muka, manicure dan pedicure (rawatan kuku).
Mandi Lulur
Mandi Lulur atau lebih dikenali dengan istilah ’body scrub’ merupakan perawatan yang harus dilakukan oleh bakal pengantin sebelum hari bahagia. Rawatan Mandi Lulur dilakukan dengan cara mengoleskan bahan lulur pada tubuh dan digosok dengan telapak tangan, dan dibiarkan sebentar sehingga kering dan digosok kembali hingga lapisan lulur tadi tanggal. Lulur akan menanggalkan sel kulit mati dan menggantinya dengan lapisan kulit baru yang lebih sihat dan seterusnya membuatkan kulit menjadi lebih bersih.
Mandi Susu
Mandi susu merupakan satu lagi kaedah penjagaan diri yang menjadikan kulit bersih, halus, lebih kenyal, lebih lembapan dan cerah. Mandi susu dapat mengurangkan warna kulit yang kehitaman atau gelap akibat proses penuaan. Susu mengandung beta hydroxy yang bukan sahaja mengelupas kulit mati, tetapi juga menghaluskan lapisan di bawahnya menjadikan kulit halus, bersinar dan tidak bersisik. Inilah rahsia kejelitaan dan kulit cantik Ratu Mesir; Cleopatra 2000 tahun dahulu!
Mandi Bunga
Amalan Mandi Bunga adalah suatu amalan tradisional masyarakat Melayu yang telah diperturunkan sejak turun-temurun. Mandi Bunga dikatakan suatu amalan pembersihan dalaman atau spiritual. Elemen air dan bunga dikatakan boleh menghilangkan tekanan dan menaikkan aura warna dalam badan untuk kelihatan ceria dengan wajah yang berseri. Selain itu, Mandi Bunga juga menyegarkan badan, menghilangkan bau badan dan mencantikkan kulit.
Mandi Bunga terdiri daripada 7 Jenis Bunga yang mewakili 7 Warna Chakra Utama mengikut susunan Pelangi. Bunga yang dipilih kebiasaannya berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga tersendiri yang akan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh. Tenaga warna hidup dari pati bunga mampu membersih, merawat merangsang tenaga Chakra dan Aura pada tubuh.
INFO: Bunga dan khasiatnya:
Mawar merah - membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
Mawar putih - menyegarkan dan menyucikan badan supaya nampak lebih berseri.
Cempaka putih - melembut dan mewangikan badan.
Cempaka kuning - menyerikan wajah dan mewangikan badan.
Melur putih dan kuning - menyucikan dalaman.
Bunga kenanga - menaikkan seri dan senang didekati.
Limau purut - buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
Limau susu - melembutkan kulit.
Rawatan Rambut
Bertudung atau tidak bertudung, setiap pengantin patut menitikberatkan kebersihan dan kesihatan rambut. Potong atau ’trim’ sedikit rambut anda supaya tidak kelihatan seperti rambut ’mati’ atau tidak sihat. Tapi pastikan anda memotong rambut lebih awal daripada tarikh majlis anda. Sekurang-kurangnya, kalau fesyen yang digayakan tidak sesuai, anda masih mempunyai masa untuk memperbaikinya!
Rawatan Muka / Facial
Setiap bakal pengantin digalakkan mendapatkan rawatan muka atau ’facial’ bagi mencerahkan kulit wajah dan sekaligus menaikkan seri wajah. Rawatan ’facial’ akan membuang sel mati 'black head' & 'white head', menghilangkan jerawat serta parut jerawat, mengecilkan liang roma (pori-pori wajah), menghilangkan lebam dan bengkak di bawah mata dan juga menegangkan kulit wajah. Dengan semua rawatan ini, kulit bakal pengantin akan menjadi lebih berseri!