Dibintangi oleh
Mazlan Ahmad, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Pak Pie, Bob Kuman, Nora Danish, Ruminah Sidek, Ebby Yus, dan Wangi The Fabulous Cat
Genre
Komedi Seram
Ulasan
Setelah mencipta kejayaan dengan mencapai kutipan box-office sebanyak RM 6.3 juta menerusi filem Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC), Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG) meneruskan kesinambungan dengan menerbitkan filem berjudul Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (JPBC 2).
Jika sebelum ini anda telah menonton sekuel pertama dan tidak berpuas hati dengan pengakhiran jalan ceritanya yang agak tergantung dan membuatkan anda tertanya-tanya, gua sarankan kepada anda untuk menonton filem JPBC 2 ini.
Menampilkan Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku pengarah, JPBC 2 masih lagi mengekalkan barisan pelakon-pelakon asal dan mengetengahkan plot penceritaan yang sama.
Cuma bezanya, ketiadaan pelakon Shaheizy Sam, Dina, Zarina dan Mas Muharni telah digantikan dengan kemunculan Nora Danish yang membawa watak baru dalam sekuel kedua ini.
Kalau anda nak lihat bagaimana aksi pelakon comel ini dirasuk dan berkemban buat pertama kalinya, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem JPBC 2 ini.
Mengenai pemilihan lokasi di sekitar Lembah Klang dan Perlis Indera Kayangan, gua rasa ia merupakan lokasi yang sesuai dan selari dengan konsep penceritaan yang ada.
Selain itu, penggunaan sistem bunyi Dolby Digital Surround dalam filem ini juga ternyata dapat memberikan kepuasan maksimum kepada penonton.
Dengan adanya teknik-teknik serta aplikasi canggih dalam pembikinan filem ini, gua yakin ia dapat memberikan impak hebat kepada penonton.
Sinopsis
Setelah berjaya menewaskan Mustika dan memulihkan Punai dan Asmat dalam JPBC yang lalu, Pak Mor terus berusaha untuk memperhebatkan ilmu yang ada padanya.
Pada suatu hari, ketika dia sedang membaca jampi menteranya, tiba-tiba tubuh Pak Mor kejang dan serentak dengan itu satu gumpalan asap keluar dari tubuh Pak Mor dan dari asap itu muncul Mustika.
Keadaan ini membuktikan bahawa Pak Mor dan Mustika sebenarnya mempunyai hubungan dan berpakat untuk mengambil kesemua harta dan saka-saka Pak Sudir setelah kematiannya.
Tujuan mereka mengambil kesemua saka-saka Pak Sudir, adalah untuk kekal muda selama-lamanya. Namun yang demikian, Punai dan Asmat cuba untuk menggagalkan rancangan mereka. Situasi ini memaksa Pak Mor dan Mustika bertekad untuk menghapuskan Punai dan Asmat.
Usaha untuk menghapuskan Punai dan Asmat sentiasa menemui jalan buntu. Mereka bijak menghalang diri mereka dari kawalan Pak Mor dan Mustika.
Pada satu hari, mereka telah berjumpa dengan seorang bomoh yang dikatakan mampu membantu mereka. Wak Ketari mempunyai ilmu kebomohan dan bersetuju untuk mengajar mereka. Tidak mudah untuk mempelajari ilmu dari Wak Ketari kerana dia turut mengenakan beberapa syarat serta peraturan untuk dipatuhi.
Punai dan Asmat menghadapi berbagai masalah semasa belajar kerana Wak Ketari seorang yang tegas dan garang. Sebelum mereka lulus, mereka dikehendaki menjalani satu ujian di mana mereka dikehendaki menangkap hantu.
Walaupun pada mulanya mereka keberatan menurut tetapi kemunculan Seha iaitu anak tunggal Wak Ketari mengubah pendirian mereka serta merta.
Dalam pada yang sama, Pak Mor dan Mustika terus berusaha menjejaki mereka bagi misi menghapuskan kewujudan Punai dan Asmat.
Adakah Punai dan Asmat berjaya dalam ujian yang diberikan oleh Wak Ketari? Bagaimana pula dengan usaha yang dilakukan oleh Pak Mor dan Mustika bagi menghapuskan Punai dan Asmat.
Jangan lupa untuk menonton Jangan Pandang Belakang Congkak 2 bermula 7 Oktober ini di pawagam berhampiran anda.
Info
Info : Filem yang menelan kos sebanyak RM 1.8 juta ini merupakan filem usahasama antara MIG dengan Golden Screen Cinemas.
Akan mula ditayangkan pada 7 Oktober 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan