Kumpulan indie popular masa kini, Hujan baru-baru ini telah melancarkan album terbaru mereka berjudul, Lonely Soldier Boy (LSB) di Berjaya Times Square. Majlis pelancaran yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat ini turut dibanjiri oleh peminat mereka iaitu Raingers.
Jika dalam album Mencari Konklusi, Hujan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu, namun kali ini, Hujan menghadiahkan 14 buah lagu kepada semua Raingers yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada mereka.
“Raingers merupakan inspirasi dan pembakar semangat buat kami. Kami cuba untuk buat yang lebih baik untuk menghargai peminat yang banyak menyokong selama ini,”ujar Noh ketika ditemui sejurus selesai majlis pelancaran album terbaru mereka.
Hujan yang diwakili Noh sebagai vokalis, Hang Dimas Santoso (keyboard) dan Izzat Uzaini (pemain bass) turut menampilkan AG Coco sebagai pemain gitar. Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2005 ini pernah merangkul dua trofi Anugerah Industri Muzik iaitu Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album LSB ialah Di Kala Bulan Bermain Biola, Muda, Kotak Hati, Bagaikan Matahari, Inspektor Ramos, Bahgia, Kasihan dan sebuah lagu dari animasi Jepun, Mospeda berjudul, Lonely Soldier Boy.
“Kami memang minat dengan animasi Jepun tersebut, sebab itu kami ambil lagu ini sebagai salah satu lagu dalam album terbaru kami dan sekaligus memanfaatkan ia sebagai tajuk album ini.
“Dengan bantuan Warner Music, kami sudahpun mendapat kebenaran dari pihak sana untuk menggunakan lagu ini. Tajuknya sama cuma kamu nyanyikan semula lagu ini dalam bahasa Melayu.”
Menurut Noh, banyak cabaran yang perlu mereka lalui sepanjang proses pembikinan album yang mencecah kos sebanyak RM30,000 ini semata-mata untuk memuaskan hati peminatnya.
“Kami ambil masa selama empat bulan untuk merakamkan album ini. Album ini lebih terperinci dan agak mencabar berbanding dengan album sebelum ini. Antara cabaran yang kami hadapi ialah dari segi jadul yang ketat, kewangan dan juga faktor kesihatan.
“Namun, ini semua untuk peminat kami. Bagi saya, album ini lebih terbuka dan sesiapa saja boleh mendengarnya kerana ia turut menyelitkan empat buah lagu balada. Harap semua boleh terima album terbaru ini.”
Lebih istimewanya, Noh turut mencipta lagu berjudul, ‘Walaupun Jauh’ iaitu sebuah lagu inspirasi Noh kepada tunang tercinta, Mizz Nina. Lagu yang mengisahkan tentang soal darjat ini dihasilkan memandangkan mereka berdua datang dari latarbelakang keluarga yang berbeza di mana Mizz Nina merupakan anak bongsu kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad iaitu Tan Sri Azman Hashim.
“Lagu ini aku buat pada tahun ini iaitu selepas bercinta dengan Nina. Aku dari kampung, mereka orang kaya. Aku sedar diri aku ni siapa. Tapi sebenarnya tak ada pun timbul isu darjat cuma aku je rasa tertekan kerana memikirkan penerimaan keluarga mereka.
“Namun, selepas berjumpa dengan keluarga Nina, aku tak sangka mereka adalah orang yang sangat rendah diri. Bapa Nina respek dengan karier aku dan perkara ini lebih memotivasikan aku untuk lebih berjaya lagi.”
Kredt Foto : Ahmad 'cipoi' Saiful www.senselessart.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan