Isnin, 29 November 2010

'Aku Tak Bodoh' : Filem Penuh Emosi



Aku Tak Bodoh

Dibintangi oleh

Riezman Khuzaimi, Amy Mastura, Namron, Adibah Noor, Dato’ Jalaluddin Hassan, Suhairil Sunari, Wan Noor Aizat, Rohaizat Hassan

Genre

Komedi, Keluarga

Ulasan

Setelah berjaya mendapat sambutan baik dalam versi Cina di Singapura, filem berintipatikan mesej yang sangat berguna, “I’m Not Stupid” kini diterbitkan pula dalam versi Melayu dengan judul, ‘Aku Tak Bodoh’.

Filem arahan Borris Boo ini adalah kerjasama antara Primeworks Studios (Grand Brilliance), J Team, Asia Media Content (AMC), RAM Entertainment dan PMP Entertainment.

Dengan menampilkan bakat-bakat baru seperti Aeril Zafrel, Rohaizat Hassan dan Wan Nor Aizat sebagai pemegang watak-watak penting dalam filem ini, ia sedikitpun tidak menjejaskan mutu penceritaan filem ini oleh kerana kemampuan mereka dalam menghayati watak yang disandang sungguh memuaskan.

Sesuatu yang harus dipuji menerusi filem ini ialah garapannya tampak ringan dengan sentuhan komedi yang bersahaja tetapi impaknya seperti menonton sebuah filem yang penuh emosi, tambahan pula penyusunan plotnya sangat baik dan memudahkan penonton untuk memahami keseluruhan jalan ceritanya.

Tatkala deraian hilai tawa bergema di dalam panggung melayani komedi bersahaja yang dihidangkan menerusi filem itu, tanpa disedari air mata juga mula berlinang apabila mesej yang ingin disampaikan meresap minda dan jiwa penonton terutamanya di kalangan ibu bapa.

Keistimewaan kandungan filem ini adalah pembawaan mesej yang berkait rapat tentang perhubungan di antara ibu bapa dengan anak-anak. Selain dijamin terhibur dengan komedinya yang bersahaja, ia juga dapat memberi mesej yang amat baik kepada ibu bapa dan anak-anak secara amnya.

SINOPSIS

Mengisahkan perihal remaja yang bernama Roy, berusia 16 tahun dalam menghadapi liku-liku hidupnya yang sentiasa diikat dengan prinsip ibu bapanya. Bapa Roy, seorang pengaturcara komputer, percaya bahawa melalui kritikan, anak-anaknya akan menjadi seorang yang berjaya.

Ibu Roy pula seorang editor majalah yang sering sibuk dan tidak mempunyai masa lapang untuk anak-anaknya. Ibunya lebih mengharapkan suaminya untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka.

Lantaran sikap ibubapanya yang gemar mengkritik dan tidak menghargai dirinya, Roy mula berkawan dengan remaja-remaja nakal di mana bersama mereka Roy mula berasa dirinya benar-benar dihargai. Adik Roy, Jefri, berusia 8 tahun juga tersepit di dalam dunia ciptaannya sendiri kerana tiada siapa yang mempedulikan dirinya.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila Roy dan Jefri sudah berani melakukan jenayah yang menyebabkan ibubapa mereka terlalu marah dan bertindak memukul mereka. Ini menyebabkan Roy menjadi lebih liar dan sukar untuk di kawal lagi.

Namun, segala-galanya berubah apabila ibubapa Roy terbaca blog hasil nukilan Roy mengenai kisah hidupnya. Mereka juga tersentak dengan pengakuan anak bongsu mereka, Jefri yang sebenarnya mempunyai motif sendiri ketika bergelut dengan keadaan sekelilingnya tanpa kehadiran ibubapanya.

Apa akan terjadi pada keluarga ini seterusnya? Bahagia atau kehancuran yang bakal mereka tempuhi? Nantikan kemunculan filem ‘Aku Tak Bodoh’ di seluruh pawagam tanahair bermula 2 Disember ini.

Info

Tarikh Tayangan : 2 Disember 2010
Layari laman web www.akutakbodoh.com untuk maklumat lanjut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan